"wahai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kamu kepada ALLAH dan hendaklah kamu bersama dengan orang-orang yang benar" surah AT-TAUBAH :119
Thursday, January 27, 2011
pergaulan melalui internet.........
Satu persoalan yang perlu dibincangkan ialah ramai yang mencari pasangan dan mencari teman dengan chatting. Apakah prinsip Islam yang perlu kita pegang dalam hal ini ?Hal ini sudah menjadi lumrah hari ini terutamanya di kalangan remaja, tanpa mengira apakah batas yang ada pada Islam supaya aspek moral tidak diabaikan. Seperti yang diketahui, segala jenis peluang sama ada negatif atau positif terdapat dalam teknologi moden.
Walau apa pun, yang jelas muslimin dan muslimat tanpa mengira umur turut menggunakannya lantas bertanggungjawab kepada Allah S.W.T. yang telah memberi kita segala kemudahan dan kemewahan teknologi.
Kita tidak boleh tersasar daripada panduan yang Allah S.W.T. telah gariskan. Internet chatting sebenarnya sama seperti menulis surat kepada seseorang ataupun menelefon seseorang ataupun sebenarnya adalah kombinasi kedua-duanya. Muslimin dan muslimat perlu mengikut batas-batas yang telah ditetapkan ke atas percakapan dengan telefon ataupun menulis surat. Islam tetap mengharamkan penulisan surat-surat cinta ataupun perbualan yang intim dalam perbualan telefon antara muslimin muslimat yang bukan muhrim antara satu sama lain.
Di dalam perbualan, penulisan ataupun chatting , kita mesti menegakkan sifat HAYA' ataupun malu. Muslimin muslimat tidak diizinkan berchatting hanya untuk bersosial ataupun sebagai hobi. Adalah haram untuk muslimin muslimat yang bukan muhrim berchatting dalam jangka masa yang panjang kecuali keharusan untuk perniagaan ataupun pendidikan. Semua bentuk
interaksi hendaklah sopan. Al-Qur'an telah mengingatkan kita berulang-ulang kali bahawa semua perkataan akan dicatat oleh para malaikat dan kita akan dipertanggungjawabkan ke atas perkataan yang telah kita gunakan nanti. (sila rujuk AL-AHZAB 33 Aya 70 & QAF 50 ayat 18)
Jika seseorang itu bertemu dengan seseorang melalui internet dan berniat untuk berkahwin, hendaklah ia melibatkan orang lain ataupun ibu bapa dalam berchatting. Hendaklah orang lain itu melakukan siasatan dan rundingan bagi pihaknya. Bukankah lebih baik jika chatting itu ditemani orang lain ?
Islam mengharamkan Khalwah (duduk bersunyi) di antara muslimin muslimat yang bukan muhrim. Dalam hal ini, khalwah secara virtual boleh terjadi dengan perbualan melalui internet ataupun telefon. Sebagaimana diharamkan bersunyi-sunyian dalam keadaan fizikal, begitu juga bercakap melalui telefon atau chatting, lebih-lebih lagi interaksi itu berkaitan perkara yang peribadi.
Kita juga harus berhati-hati sebelum diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsu akan faedah yang kononnya wujud dalam berchatting dengan golongan yang bukan muhrim atau seseorang yang entah diketahui siapakah dirinya yang sebenar. Kekadang kita tidak sedar sedang ditipu dan diperdaya dengan nama-nama samaran serta lakonan orang yang sedang berchatting. Bukankah Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: ( Daripada tanda keelokkan (kesempurnaan) imannya ialah ia meninggalkan apa yang tiada sangkut paut dengan dirinya) Hadis Riwayat Tarmizi.
Sama-samalah kita memikirkannya. renung-renungkan dan selamat beramal....wallahualam.......^^
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment