Lelaki disyaratkan melindungi wanita,  hindari kekerasan. Dalam institusi perkahwinan, lelaki ialah ketua  keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa  kelebihan lain berbanding wanita. Tanggungjawab lelaki sebagai ketua  (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya  bermaksud:
"Lelaki ialah pemimpin bagi  perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas  sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki selepas menafkahkan  sebahagian daripada harta mereka." (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam mensyaratkan lelaki sentiasa  menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin,  lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan  menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka. 
Islam melarang sama sekali kekerasan dalam rumah tangga.
 Rasulullah memberi ingatan dengan sabda bermaksud:
"Mengapa ada lelaki di kalangan  kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal  dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari lain." (Hadis riwayat  Ahmad).
Isteri mempunyai hak untuk mendapat  layanan sebaik-baiknya. Pada suatu ketika, ramai isteri datang menemui  isteri Rasulullah mengadu mengenai layanan buruk yang diterima daripada  suami mereka. Apabila Rasulullah mengetahuinya, baginda pun bersabda  maksudnya:
"Sesungguhnya ramai wanita  datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya  suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan  kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).
Rasulullah memberi contoh bagaimana  menjadi seorang suami yang baik. Rasulullah sering menolong isterinya  melakukan kerja di rumah yang baginda dapat melakukan sendiri seperti  menjahit baju yang koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja lain.  Sifat ringan tangan suami membantu isteri melakukan kerja rumah bukan  semata-mata meringankan tugas isteri, tetapi menimbulkan rasa hormat  isteri. Isteri berasakan dirinya lebih disayangi dan dihormati.

Amalan  melakukan kerja rumah secara bersama dapat membentuk kerjasama,  persefahaman, keceriaan dan menghargai apa yang dilakukan bersama-sama. 
 Suami yang sama-sama membersihkan rumah tentu tidak akan melakukan  perbuatan yang menyebabkan keadaan menjadi kotor. Bagaimanapun, ramai  suami yang secara sengaja mengotorkan kawasan rumah dengan habuk dan  puntung rokok yang dibuang merata-rata dan kemudian menyuruh si isteri  pula membersihkannya.
Melakukan kebaikan kepada isteri adalah  sebahagian tanda muslim sejati. Suami yang baik sedar bahawa dirinya  menanggung amanah besar dalam soal menjaga kepentingan isteri. Sabda  Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Orang yang baik antara kamu  adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang  paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu." (Hadis riwayat  at-Tirmizi).
Sikap baik sebenarnya bukan terhad  kepada isteri. Semua orang berhak dilayan dengan baik, terutama ahli  keluarga dan sesiapa yang diamanahkan kepada kita menjaganya. Orang gaji  dan sesiapa yang tinggal bersama kita perlu dilayan dengan  sebaik-baiknya. Sikap baik Rasulullah terhadap isteri diakui oleh isteri  baginda, Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Aisyah pernah berkata:
"Rasulullah tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya."
Menjaga dan berbuat baik terhadap isteri juga dilakukan dengan cara menyediakan apa yang suami mampu untuk dirinya, 
maka itulah juga seharusnya untuk isteri. Adalah menjadi hak isteri  mendapat pemberian yang mampu disediakan oleh suaminya. Sabda Rasulullah  SAW bermaksud:
"Tanggungjawab suami terhadap  isterinya adalah apabila kamu makan, hendaklah kamu beri makanan untuk  isterimu. Apabila kamu memakai pakaian, kamu berikan pakaian untuk  isterimu. Jangan kamu pukul isterimu pada bahagian muka. Jangan kamu  keluarkan perkataan yang jahat di hadapannya iaitu perkataan yang  menyakiti hati dan dibenci. Jangan kamu tinggalkan isterimu seorang diri  kecuali dalam rumah." (Hadis riwayat Abu Daud)
Islam menggesa si suami agar berurusan  dan bermuamalah bersama isteri dengan adab yang baik, memandangkan  pertimbangan akal kaum wanita dianggap kurang berbanding kaum lelaki.  Allah befirman di dalam al-quran:
"Gauli mereka dengan adab yang baik." (An-Nisa': ayat 19)
Ini merangkumi tutur kata yang lunak,  bersikap adil bersama isteri sekiranya si suami berpoligami, memberi  nafkah, bermesyuarat dengan isteri dalam urusan rumahtangga, menutup  kelemahan isteri dan lain-lain lagi. Mengelak daripada mengatakan  perkara buruk terhadap isteri adalah sebahagian sikap baik yang perlu  diamalkan oleh suami. Ada suami yang sering dan gemar mengeluarkan  perkataan tidak enak terhadap isteri disebabkan sesuatu perkara tidak  disenangi. Perkataan buruk yang dikeluarkan terhadap isteri juga satu  penderaan iaitu penderaan mental. Isteri yang selalu diherdik, dihina  dan dimarahi akan menghadapi tekanan perasaan dan mudah timbul perasaan  takut untuk berdamping dengan suami. Sesiapa yang suka mengamalkan sikap  bengis dan suka menakut-nakutkan isteri dengan perkataan kasar akan  terlepas daripada rahmat Allah dan menanggung kerugian di dunia dan  akhirat.
Sesungguhnya Rasulullah  sallallahu'alaihi wa sallam adalah teladan yang paling baik. Meskipun  baginda membolehkan memukul isteri setelah nasihat dan memulaukannya di  tempat tidur tidak berkesan, namun baginda tidak pernah memukul  isterinya. Islam mengharuskan suami memukul isteri dengan pukulan ringan  yang tidak menyakitkan walaupun ke atas bayi, sekadar amaran agar si  isteri tidak mengulangi kesilapannya. Islam telah menetapkan garis  panduan yang cermat berkaitan keharusan memukul, agar tidak mendatangkan  mudharat lain yang tidak diundang, seperti menegah memukul bahagian  muka serta jangan memukul dengan pukulan yang mencederakan. Pukulan ini  juga dibenarkan setelah isteri dipisahkan tempat tidur dan masih belum  bersedia untuk mengubah tabiat buruknya.
Rasulullah sentiasa menjaga perasaan  para isteri baginda dan pandai menambat hati mereka dengan bergurau  senda dan bermesra. Rasulullah menggesa para suami agar bijak  menyesuaikan diri,ketika berada di samping isteri. Rasulullah bersifat  keanak-anakan ketika berada di samping isteri baginda, meskipun baginda  seorang pahlawan yang handal di medan jihad.
Sememangnya wanita suka dimanjai dan  dibelai. Rasulullah mengkehendaki para suami agar pandai meletakkan  taraf dirinya sedarjat dengan isteri, untuk mengelakkan rasa canggung  dan janggal ketika bersama isteri. Pernah diriwayatkan dalam sunan Abu  Daud dan Al-Nasa'ie, Rasulullah berlumba lari dengan isteri baginda  Saidatina Aisyah. Meskipun Rasulullah pesuruh Allah yang sibuk dengan  urusan menyebarkan dakwah dan berjuang di medan jihad, namun baginda  masih ada kelapangan untuk bermesra bersama isteri baginda dan ini  bukanlah suatu yang menyalahi etika. Rasulullah bersabda di dalam  riwayat Tarmizi dan Muslim:
"Mukmin yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan paling berlemah lembut bersama isterinya."
Islam menggambarkan mukmin yang paling  sempurna ialah mereka bijaksana melayani isteri dan berbudi pekerti  mulia. Satu contoh petunjuk Rasul yang menggambarkan baginda beradab  sopan bersama isteri baginda ialah hadis yang diriwayat oleh Ibn Abi  Dunya, Saidatina Aisyah memberitahu bahawa:
"Segala urusan dan perlakuan  Baginda amat menakjubkan, sehingga ketika baginda bersama isterinya pada  suatu malam dan telah bersentuhan kulit, baginda meminta izin dari  isterinya Aisyah untuk beribadat menemui Tuhannya."
Demikianlah adab Rasul bersama isteri baginda, meminta izin untuk meninggalkannya meskipun untuk bertemu Tuhan.
 

 
No comments:
Post a Comment