
Kaabah yakni rumah Allah adalah kiblat di mana seluruh umat Islam  menghadapnya ketika menunaikan solat. Diriwayatkan bahawa Allah telah  menjadikan tapak Kaabah itu disokong dengan empat tiang daripada air  2000 tahun sebelum Dia menciptakan dunia ini dan Dia telah membentangkan  bumi dari bawah Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya sehingga lapisan  bumi yang ke tujuh.
Di setiap tujuh langit ada rumah Allah  tempat para malaikat beribadat padaNya dan pada langit ke tujuh nama  rumah Allah itu adalah Baitul Makmur. Rasulullah bersabda, “Baitul  Makmur adalah masjid yang berada di langit dan ia betul-betul di atas  Kaabah. Seandainya ia jatuh maka ia akan menghempap Kaabah”.
Sebelum  Baitul Makmur dicipta, para malaikat tawaf mengelilingi Arasy pada masa  yang sangat lama. Allah memandang mereka kemudian menurunkan rahmat  kepada mereka. Allah membina sebuah rumah di bawah Arasy yang diberi  nama Baitul Makmur. Allah memerintahkan para Malaikat supaya tawaf di  Baitul Makmur dan tinggalkan Arasy. Para malaikat telah melakukan tawaf  di Baitul Makmur sehingga jumlah yang memasukinya siang dan malam  seramai 70,000 malaikat. Mereka tidak kembali lagi buat selama-lama.
Kemudian Allah mengutuskan para malaikat  turun ke bumi dan berfirman kepada mereka, “Binalah sebuah rumah  untukKu di bumi sepertinya”. Allah memerintah seluruh makhlukNya di bumi  supaya tawaf mengelilingi Kaabah sebagaimana penghuni langit tawaf  mengelilingi Baitul Makmur. Diriwayatkan bahawa Allah telah mengutuskan  Jibril kepada Nabi Adam serta Hawa supaya membina satu rumah untukNya.  Jibril telah menggariskan (rangka) kepada keduanya lalu Nabi Adam  menggali tanah manakala Hawa mengangkutnya sehinggalah air menyahut  serta menyeru dari bawah beliau meminta agar berhenti menggali dengan  kata-kata, “Cukuplah wahai Adam!”
Setelah Nabi Adam wafat, anak-anaknya  telah membina Kaabah dengan menggunakan tanah dan batu. Diriwayatkan  bahawa orang yang membinanya ialah anak Nabi Adam iaitu Nabi Syith.  Mereka sentiasa mendiami dan memakmurkan Baitullah dan begitulah juga  dengan orang-orang yang selepas mereka sehinggalah tiba zaman Nabi Nuh,  Kaabah telah runtuh dan kawasan tersebut ditenggelami air serta tidak  dapat dikesani.
Kemudian Allah mengutuskan Nabi Ibrahim  untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim  dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan  tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith  yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu. Pembinaan  Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota  Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut  Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk  melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.
Ciri-ciri binaan yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim:
- Tingginya 9 hasta.
- Panjang di paras bumi dari Hajarul Aswad hingga ke penjuru sebelah Syam 32 hasta.
- Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat 22 hasta.
- Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman 31 hasta.
- Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarul Aswad 20 hasta.
Selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, ia terus berdiri megah di bumi Allah dan tidak akan runtuh sehingga hari Kiamat.  Namun usaha membaik pulih dan menyelenggarakan Kaabah tetap diteruskan  sehingga sekarang. Berikut adalah rumusan sejarah pembinaan Kaabah.
- Binaan pertama: Malaikat
- Binaan kedua: Nabi Adam
- Binaan ketiga: Nabi Syith
- Binaan keempat: Nabi Ibrahim
- Binaan kelima: Kaum Amaliqah
- Binaan keenam: Kaum Jurhum
- Binaan ketujuh: Qusai bin Kilab (Abad keempat Masihi)
- Binaan kelapan: Abdul Mutalib
- Binaan kesembilan: Kaum Quraisy (Tahun 605 Masihi ketika Rasulullah berusia 35 tahun)
- Binaan ke-10: Abdullah ibnu Zubair (Tahun 64 hijrah)
- Binaan ke-11: Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi (Tahun 74 hijrah/693 Masihi)
- Binaan ke-12: Sultan Murad Khan (Tahun 1040 hijrah/1630 masihi)
akhi shah - 11/9/2011 1:45am
 
 
No comments:
Post a Comment