
Bidadari syurga, makhluk yang telah  sangat indah yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang soleh,  yang berbuat kebaikan, yang layak untuk memasuki syurga. Diceritakan  bahawa bidadari-bidadari syurga ini terlalu rindukan suaminya di dunia  dan teringin melihat suaminya di dunia, namun tidak diberi izin oleh  malaikat penjaga syurga. Suatu hari mereka meminta izin dari Allah untuk  menjenguk ke bumi bagi melihat suami mereka dan telah diizinkan.  Bidadari-bidadari ini dapat mengenal siapa suami mereka kerana di dada  mereka telah tertulis nama suami yang mereka rindui.
Apabila melihat ke bumi, mereka  terlihatlah bidadari-bidadari akan isteri bagi suami mereka di dunia  tidak taat serta berbuat derhaka kepada suami, lalu bidadari syurga itu  berkata, “Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangimu,  sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisimu, sebentar lagi dia akan datang  kepada kami dan meninggalkanmu.” Di dalam Al-Quran dan hadith banyak  sekali dijelaskan ataupun digambarkan tentang susuk bidadari yang  bertempat di syurga dan bersedia melayani para ahli Jannah.
AL-QURAN
Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu  akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang  bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir  di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga  pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula)  keredaan dari Allah. (Al-Imran:15)
Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan  kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas  cantik matanya. (Ad-Dukhan:54)
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya. (Al-Waqi’ah:22)
Sesungguhnya Kami telah menciptakan  isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka  sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). (Al-Waqi’ah:35-36)
Dan di sisi mereka pula  bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka  semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. (Sad:52)
Di dalam Syurga-syurga itu terdapat  bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka  semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan  jin; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu  hendak dustakan? Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata  delima dan marjan. (Ar-Rahman:56-58)
Sedang di sisi mereka ada pula  bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada  mereka, lagi yang amat indah luas matanya. (As-Saffat:48)
Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (bidadari-bidadari) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya. (Ar-Rahman:70)
Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya  tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; maka yang mana satu di  antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?  (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh  manusia dan tidak juga oleh jin. (Ar-Rahman:72-74)
HADITH
Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah  seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi antara  langit dan bumi.” (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w  bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu  yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah  didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran.” (H.R.  Bukhari dan Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah  s.a.w bersabda: “Jibril mengatakan kepadaku bahawa ketika orang mukmin  masuk syurga, akan disambut oleh bidadari dengan pelukan hangat dan  erat. Dengan jari dan telapak tangan manakah akan dibandingkan  kelembutan dan keindahannya, kalau lambaiannya akan memadamkan sinar  matahari dan bulan?” (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya  salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari  langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang  harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu  lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah  s.a.w bersabda: “Jika sehelai saja dari rambut bidadari jatuh ke bumi,  nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (H.R.  Ath-Thabrani)
Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya  mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat kontradiktif  yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam  rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar cemerlang.  Sungguh kontras sekali, namun disitulah letak kecantikannya.” (Kitab  Hadzil Arwah:316)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Rombongan  yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di  malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya  seperti bintang-bintang yang berkilau di langit. Masing-masing orang di  antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sumsum tulang betisnya  kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada orang  bujang.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Penghuni  syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus  itu.” (H.R. Al-Baihaqi dan Al-Hakim)
Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w  bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air  laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari  terbuat dari za’faran.”
Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu  Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w  bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu,  dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang  merah dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud  yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan  tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sungguh  tutup kepala salah seorang wanita surga itu lebih baik daripada dunia  dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas r.a, Rasulullah s.a.w  bersabda: “Seorang mukmin di syurga diberi kekuatan untuk menjimak  isterinya sekian dan sekian.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah,  apakah ia begitu kuat?” Baginda s.a.w bersabda, “Ia akan diberi kekuatan  seratus orang laki-laki.” (H.R. Tirmidzi)
Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya  bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia  ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda s.a.w menjawab,  “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata  jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak  tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada  mereka?” Baginda s.a.w menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah  mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh  mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna  hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya  terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati,  kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi  dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah  bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan  kami memilikinya’.” (H.R. Ath-Thabrani)
Riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w  bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari.  Dikatakan kepadanya, namanya ‘Aina’, ia diciptakan dari empat unsur,  iaitu misik, kafur, anbar dan za’faran. Semua bidadari-bidadari itu  sangat merindukan suami-suami mereka. Andai sekali saja  bidadari-bidadari itu meludah di dunia maka tawarlah lautan tersebut  lantaran ludahnya. Tertulis pada tengkuknya, ‘Barangsiapa yang suka akan  dirinya seperti aku, maka beramal dengan ketaatan kepada Tuhannya’.”
Riwayat Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah  s.a.w bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia  memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan  lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan  wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi  syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana  syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya,  lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah  syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia  menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka  bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai  Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari  jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini  diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t  daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”
Di dalam kitab Daqoiqul Akbar Fii  Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy  disebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah  bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. ALLAH  menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur.  Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke  lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari  misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai  kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di  dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama  suaminya dan nama-nama Allah s.w.t. Pada setiap tangan dari kedua  tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya  terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh  binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”
Ini adalah sedikit gambaran yang Allah  berikan tentang bidadari di syurga. Walau bagaimanapun gambaran itu,  manusia tidak akan boleh membayangkan sesuai dengan rupa aslinya, kerana  sesuatu yang berada di syurga adalah sesuatu yang belum pernah kita  lihat di dunia ini...waallahua'lam...
akhi shah - 11/9/2011         12:45 am 
 
 
No comments:
Post a Comment